Kita tidak boleh tidak berkomunikasi. Ini adalah andaian di dalam NLP yang terbukti akan kehebatannya. Selagi kita berada di dalam keadaan sedar, kita tidak berhenti-henti berkomunikasi. Di dalam konteks ini kita bukan sahaja berkomunikasi apabila ada seseorang atau lebih mengeluarkan perkataan-perkataan kepada kita. Kita juga berkomunikasi apabila kita bersendirian. Setiap benda yang di capai oleh mata penglihatan kita, kita akan memberi makna dan makna itu adalah satu komunikasi. Bukan sahaja mata, setiap bunyi yang masuk ke telinga kita, setiap sentuhan yang menyentuh tubuh badan kita, setiap bau yang masuk ke hidung kita dan rasa ke lidah kita, kita akan memberi makna. Ini bermaksud kita berkomunikasi dengan diri kita. Begitu juga dengan perasaan kita. Apa yang kita rasa adalah satu bentuk komunikasi terhadap diri kita
Secara ringkasnya, kita tidak boleh tidak berkomunikasi. Kita berkomunikasi samada dengan orang lain atau dengan diri kita sendiri. Kita juga berkomunikasi semasa menonton TV, menonton wayang, membaca buku atau majalah, malahan semasa keseorangan mendengar muzik, berehat di tepi pantai atau meredah sungai dan merentas hutan, kita sentiasa berkomunikasi.
Persoalannya di sini adalah apakah makna yang kita beri semasa kita berkomunikasi. Kita tidak boleh tidak memberi makna. Ertinya kita sentiasa memberi makna kepada apa yang masuk di dalam pemikiran kita. Sebab itulah dua orang yang menaiki kereta yang sama memberi makna yang berbeza. Seorang mungkin berkata kereta ini sungguh selesa dan seorang lagi mungkin berkata kereta ini tidak selesa untuknya. Bukankah mereka menaiki kereta yang sama? Begitu juga apabila dua orang makan makanan yang sama. Ada yang teruja dengan rasa makanan tersebut dan ada yang tidak dapat menghabiskan makanan tersebut kerana rasa yang kurang enak.
Keadaan ini berlaku kerana manusia memberi makna yang berbeza terhadap stimulus yang di terimanya. Sebenarnya kita adalah jentera pengeluar makna. Persoalan yang perlu kita tanya ialah adakah kita memberi makna yang akan memperkasakan diri kita atau kita memberi makna yang akan membuat kita merudum. Fikir-fikirkanlah…………………